
Pusing Pusing Pekan Baling
Semasa lalu di jalan sebelah KFC Baling, kami ternampak street art yang besar dan menarik di dinding kedai. Ke depan lagi rupanya ada lokasi ootd di lorong belakang kedai. Penuh mural di kedua-dua belah belakang deretan kedai. Lokasi Baling Boulevard ini bebetul di tengah pekan Baling, boleh jalan kaki je dari stesen bas dan Masjid Rizwaniah.
Mural yang dilukis menggambarkan budaya dan cara hidup masyarakat Kedah sejak dahulu. Ada gambar orang sedang menarik teh tarik, bas lama (yang lagi panjang kami panggil bas roti paun), biji getah, petani sedang memukul padi dan sebagainya. Macam mana entah aku boleh tak perasan gambar Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj? Agaknya sebab aku jalan menonong masuk ke kedai emas hujung tu heheheh… sempat lagi tu cuci mata walau sah takkan beli di masa harga emas naik melambung ni 😁.
Sewaktu pelancaran bulan Julai lalu pihak terlibat buka reruai di sini untuk mempromosi Kedah sempena Tahun Melawat Kedah 2025. Kedah ada begitu banyak tempat menarik untuk diterokai. Jadi dengan adanya Baling Boulevard diharap dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, khususnya dalam sektor perniagaan, pelancongan dan pembangunan sosioekonomi.






